Wednesday 21 November 2012

Usahawan Islam Kaya Harta, Kaya Iman!


Sebagai seorang guru dalam bidang perniagaan, saya lebih menumpukan kepada satu definisi perniagaan sahaja.  Antara definisi perniagaan yang seringkali menjadi pembacaan saya adalah:

aktiviti yang melibatkan urusniaga jual beli barangan atau perkhidmatan antara pihak penjual dan pembeli bagi memenuhi keperluan dan kehendak pengguna dan melibatkan pertukaran nilaibagi mendapatkan keuntungan.”

Pada hemat saya, sebenarnya ada ‘kelemahan’ dalam definisi perniagaan tersebut.  Perniagaan bukan hanya melibatkan keuntungan.  Perniagaan juga bukan hanya melibatkan keperluan dan kehendak manusia.  Malah lebih daripada itu.

Oleh itu, definisi yang timbul dalam sanubari saya adalah seperti berikut:

“Matlamat utama dalam perniagaan adalah untuk meningkatkan, memperluaskan dan menghasilkan sesuatu yang lebih daripada keuntungan.  Ia dinamakan sebagai ibadah dan keredhaan kepada Allah s.w.t.  Apabila niat ikhlas hadir dalam setiap hati seorang usahawan, maka secara tidak langsung keuntungan kepada dunia dan akhirat.”

Kepentingan Kejayaan Usahawan Islam

Apabila sebut mengenai kejayaan, bagi saya kejayaan perlu diraikan samada kejayaan kecil mahupun kejayaan besar.  Kejayaan ini perlu diraikan dengan ucapan dan kalimah ‘Alhamdulilah’. 

Sikap bersyukur seseorang usahawan Islam perlu ditanam dan disemai.  Apabila mendapat keuntungan ucapan ‘Alhamdulilah’ disebut.  Manakala apabila diduga dan mendapat kerugian, ucapan juga sama iaitu ‘Alhamdulilah’. 

Kepentingan #1:  Ekonomi Islam Lebih Super!

Ketika penulisan ini, Israel terus menerus menyerang Palestin.  Kanak-kanak dan wanita menjadi mangsa korban yang tertinggi.  Israel dengan sombong tidak mengendahkan kecaman dunia.

Situasi ini menimbulkan pelbagai perasaan dan persoalan kepada saya.  Dan salah satunya, mengapa umat Islam begitu mudah diperlakukan sedemikian kejam?  Jadi jawapan kepada persoalan itu adalah:

Ekonomi Islam Tiada Kekuatan Untuk Berlawan.

Mengikut salah seorang pakar motivasi yang saya kenali.  Beliau menegaskan, salah satu kelemahan umat Islam pada hari ini adalah kerana kurangnya ilmu pengetahuan dan kelemahan ekonomi.  Dan berkali-kali beliau menegaskan hal ini. 

Kepentingan #2:  Luruskan Niat Kepada Ibadah!

Pengalaman saya dalam dunia perniagaan, individu yang menyokong tidak seramai yang mengejek.  Apabila kenyataan ini bermain-main di minda saya, ia sedikit memberi tekanan kepada saya pada permulaannya.

Namun saya perbetulkan niat, daripada mencari keuntungan semata-mata.  Saya juga ingin mencari keredhaan Allah s.w.t.  Maka terlintas ayat berikut di mata hati saya:

Aku berniaga hanya kerana Allah s.w.t.  Susah senang diriku hanya kerana Allah s.w.t.  Dan aku anggap perniagaan adalah sesuatu ibadah bagi kesenangan di dunia dan di akhirat.  Insya-Allah.”

Jadi mengikut pengalaman saya, niat perlu diperbetulkan.  Niat penting bagi menentukan kejayaan perniagaan, bukan sahaja di dunia malah juga di akhirat.

 Kepentingan #3:  Persepsi Agama Islam Tampak Gah!

Sekiranya usahawan Islam mampu memberikan impak yang luar biasa dalam sesuatu perniagaan.  Sejarah kejayaan Islam pasti kembali menyinari dunia kini.  Lihat sahaja kejayaan perniagaan ketika riwayat Rasulullah s.a.w.

Ketika itu, Islam begitu kuat sehinggakan musuh-musuh Islam menerima tekanan.  Tekanan tersebut termasuklah kepada kaum Musyrikin, Yahudi dan Nasrani.  Ramai di antara mereka yang menerima agama Islam kerana kekuatan ini ketika itu.

Dalam situasi Islam pada masa kini, saya percaya perkara ini boleh berlaku.  Di mana kekuatan Islam pada zaman Rasulullah s.a.w kembali semula.  Ini adalah kerana mengikut pemerhatian saya, sudah ramai usahawan-usahawan Islam yang berjaya.

Akhir kata, saya secara peribadi mengharapkan kejayaan perniagaan usahawan Islam.  Secara tidak langsung memberikan gambaran yang jelas kepada masyarakat dan agama lain bahawa agama Islam bukan agama yang lemah.

Ikhlas,
Amir Azros

No comments:

Post a Comment