Thursday 22 November 2012

'Kesabaran Dalam Menyampaikan Ilmu


Ralat rasanya.  Ralat kerana artikel yang ditulis selama ini hanya sepi.  Ralat kerana artikel di forum tersebut tidak diendah, tidak dilayan, tidak dimanfaatkan seperti yang diharapkan.  Jauh di hati, rasa kecewa, sedih malah timbul perasaan marah.

Perasaan tersebut kini hilang apabila difikirkan bahawa penyampaian artikel tersebut tidak lebih daripada menyampaikan ilmu.  Bukan menyampaikan ‘promosi’.  Maka timbul pula idea untuk menulis tentang 'Kesabaran Dalam Menyampaikan Ilmu.’
Sebagai seorang guru, saya sudah ‘masak’ dengan perangai pelajar.  Namun sebagai seorang penulis, saya masih tidak memahami apa yang dikehendaki oleh seseorang pembaca.  Mungkin gaya penulisan saya belum cukup ‘menyegat’ untuk memberi ‘sengatan’ kepada pembaca.   Dan, saya tidak akan berputus asa untuk berlatih mencari ‘sengatan’ ini. 

Baiklah, kita tinggalkan dulu tentang isu ‘sengatan’ itu.  Hari ini, saya ingin berkongsi serba sedikit berkenaan dengan tajuk artikel kali ini iaitu ‘Kesabaran Dalam Menyampaikan Ilmu.’

Penyampaian Ilmu Gaya Rasulullah S.A.W

Pada zaman Rasulullah s.a.w, Islam berkembang bukanlah dua atau tiga hari.  Namun ianya mengambil masa bertahun-tahun.  Dakwah yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w menggunakan pendekatan secara bijaksana, bersungguh-sungguh dan ikhlas kerana Allah s.w.t.

Oleh kerana Rasulullah s.a.w menggunakan tiga pendekatan tersebut, maka ramai masyarakat Arab Jahiliyah di Mekah memeluk agama Islam.  Walaupun mereka sangat patuh kepada ajaran dan kepercayaan datuk moyang mereka.  Inilah kekuatan penyampaian ilmu dan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

‘Bijak Dalam Sampaikan Ilmu’

Dalam menyampaikan ilmu, penyampai tersebut haruslah mempunyai ilmu terlebih dahulu.  Ini mungkin sesuai dengan pepatah ‘Cakap Tak Serupa Bikin’.  Di mana, mereka hanya pandai dalam menyampaikan ilmu namun mereka sendiri tiada ilmu tersebut.

Saya ambil contoh, Si ‘A’ tiada pengalaman dalam perniagaan.  Dan tidak pernah berniaga sebelum ini.  Beliau berminat untuk mengajar Si ‘B’ tentang ilmu pemasaran.  Ini akan memberikan kesan negatif bukan sahaja kepada penyampai tetapi kepada individu yang menerima ilmu tersebut.

‘Bersungguh-Sungguh Martabatkan Ilmu’

Sikap memainkan peranan dalam hal ini.  Sikap pengajar perlu diubah daripada sambil lewa kepada bersungguh-sungguh.  Ini secara tidak langsung memberikan gambaran yang lebih positif terhadap pengajar.

Selain itu, apabila sikap bersungguh-sungguh ini diterap oleh pengajar, ilmu yang disampaikan akan lebih mudah diterima.  Dan apabila ilmu mudah diterima, secara tidak langsung memberi kesan mendalam kepada penerima.

‘Ikhlas Hanya Kerana Allah s.w.t’

Semua perkara perlu ikhlas.  Lebih-lebih lagi dalam menyampaikan ilmu.  Apabila pengajar menyampaikan ilmu secara ikhlas, secara tidak langsung ia akan mewujudkan dua elemen sebelum ini iaitu bijaksana dan bersungguh-sungguh.

Oleh hal demikian, ubah sikap yang selama ini diterapkan.  Jangan hanya harapkan keredhaan manusia, keredhaan Allah s.w.t ditinggalkan.  Ikhlaskan segala perkara hanya kerana Allah s.w.t nescaya hidup kita lebih berkat.  Insya-Allah.

Akhir kata, untuk menjadi seorang penyampai ilmu, tiga elemen bijaksana, bersungguh-sungguh dan ikhlas perlu diambil kira.  Ikutilah kisah-kisah Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan dakwah.  Kejayaan dakwah baginda bukan sahaja di Mekah dan Madinah malah di seluruh pelusuk dunia.

Ikhlas,
Amir Azros

No comments:

Post a Comment