Sunday 13 January 2013

Pasangkan Niat, Terbitkan Keikhlasan


Dalam mencari matlamat kehidupan, kadang kala kita lupa tujuan kehidupan di muka bumi ini.  Sering kali kealpaan ini memberikan ruangan kepada sifat riak, takbur, fitnah dan sebagainya sebagai panduan hidup.
Amat rugi bagi kita sekiranya sifat ini adalah sumber rujukan bagi tujuan kehidupan kita di muka bumi ini.  Penulis sering bertanyakan soalan yang sama kepada pelajar.

“Apakah tujuan utama anda hadir ke sekolah?”
“Adakah hanya menuntut ilmu semata-mata?”

Dan pelajar tidak dapat memberikan jawapan dan penjelasan yang tepat tujuan mereka hadir ke sekolah.  Masakan sekiranya soalan yang lebih kompleks ditanya.

“Apakah tujuan anda sebagai manusia diwujudkan?”
“Apakah kegunaan penciptaan anda sebagai manusia?”

Sekali lagi, wajah anak-anak ini terpinga-pinga dengan soalan yang diajukan oleh penulis.  Wajah anak-anak ini mencerminkan bahawa mereka telah menetapkan satu konsep bahawa hadir ke sekolah adalah untuk belajar semata-mata.  Tidak lebih; tidak kurang.

Cuba kita renungi bersama, apakah tujuan kita berniaga? Apakah tujuan kita membina jaringan? Apakah tujuan kita mencari keuntungan? Apakah tujuan kita mencari rakan serta sahabat? Apakah tujuan kita memiliki kehidupan yang mempunyai kebebasan kewangan? Tepuk dada; Tanya iman.

Untuk mencari jawapan kepada soalan-soalan di atas.  Kita perlu membuat refleksi.  Apakah tujuan kita dijadikan hamba kepada yang Maha Esa.  Apakah matlamat yang akhir perlu kita gapai.

Dan apabila perkara ini dilakukan; bukan hanya ketika ini tetapi setiap kali kita ingin melaksanakan sesuatu perkara.  Daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara.

Penulis penah mendengar petikan kata di radio.  Di mana ustaz tersebut memberikan gambaran tentang niat seseorang.  Terdapat seorang panglima perang Islam telah memperjuangkan agamanya secara luaran, tetapi Allah tidak menerima amalannya kerana terdapat ‘sekumit’ niat di hatinya untuk riak sebagai panglima.

Oleh itu, kita perlu sedar pada setiap masa, bahawa Allah Maha Mengetahui segala perkara yang kita lakukan.  Niatkanlah segalanya hanya kerana Allah s.w.t.  Ya… Niatkanlah Lillahitaa’ala (Lakukan hanya kerana Allah s.w.t)

Insya-Allah, kita akan peroleh pahala kerana apabila kita lakukan setiap perkara berlandaskan perintah Allah dan bermatlamatkan untuk Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment