Monday 26 November 2012

Sekat Tamak Dengan Qanaah!


Terdapat beberapa pengertian bagi perkataan Qanaah.  Melalui pengertian secara bahasa, Qanaah bermaksud berasa cukup serta puas dengan setiap sesuatu yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t.  Dan ia juga merupakan salah satu cara untuk tunduk serta akur dengan kurnian-Nya. (Solusi Isu No.43)

Terdapat juga beberapa definisi Qanaah secara istilah, antaranya:

Muhammad Ali Al-Tarmizi

Qanaah ialah jiwa yang rela terhadap pemberian rezeki yang telah ditentukan-Nya.

Bishr al-Hafi

Qanaah ibarat raja yang tidak akan bertakhta kecuali di hati orang Mukmin.
Abu Abdillah Bin Khafif

Qanaah ialah perbuatan meninggalkan angan-angan terhadap sesuatu yang tidak ada dan berasa cukup dengan sesuatu yang ada.

Abu Sulaiman al-Darani

Qanaah kerana rela dengan kedudukannya adalah sama dengan warak dan zuhud.  Qanaah ialah permulaan rela, sedangkan warak itu sendiri ialah zuhud.

Muhammad Al-Kattani

Sesiapa yang menjual ketamakan dirinya dengan sifat qanaah, maka dia akan memperoleh kemuliaan dan harga diri.

Abu Bakar Al-Maraghi

Orang yang sihat akalnya ialah orang yang mengatur urusan dunia dengan sikap qanaah serta mempercepatkan tugas dalam mengatur urusan agama dengan ilmu dan ijtihad.

Melalui beberapa penjelasan berhubung dengan pengertian Qanaah, secara kesimpulannya, dapatlah difahami bahawa Qanaah adalah sifat berasa cukup dan puas dengan kurniaan Illahi walaupun manusia mengatakan sedikit secara zahirnya.

Oleh itu, sifat Qanaah perlu diterap dan disemai dalam hati setiap usahawan Islam.  Sifat ini memberi kesedaran untuk menjadi usahawan, berasa puas dengan kurniaan Illahi walaupun mengikut pandangan manusia adalah sedikit. 

Usahawan hendaklah mempunyai ketenangan hati dan jiwa.  Untuk mencapai ketenangan hati, dalami sifat Qanaah.  Bidang keusahawan adalah suatu bidang yang ada pasang dan surutnya.  Bersedia pada kedua-dua saat ini dengan ‘5 Ramuan Qanaah’.

Ramuan Qanaah #1:  Syukur Segalanya!

Apabila akal fikiran yang mempunyai daya spiritual yang tinggi, mudah untuk memikirkan segalanya yang positif.  Sebaliknya apabila akal fikiran lemah daya spiritualnya, tidak hairanlah sekiranya segala perkara dipandang daripada sudut negatif.

Fikiran yang mempunyai daya spiritual yang tinggi memerlukan ramuan Qanaah.  Khalimah ‘Syukur Segalanya’ bermaksud walau apa pun yang terjadi.  Baik atau buruk, untung atau rugi, kaya atau miskin, gagah atau lemah dan senang atau susah; segalanya dianggap sesuatu yang positif.

Ramuan Qanaah #2:  Redha Segalanya!

Sebagai hamba kepada Yang Maha Esa, redha adalah suatu bentuk harapan.  Harapan yang tinggi kadangkala membuatkan manusia leka.  Manakala harapan yang rendah, mampu menjadikan manusia itu bongkak.

Usahawan Islam perlu redha dengan ujian dan dugaan yang terjadi.  Bukan sahaja kepada perniagaan, malah dalam kehidupan seharian.  Sifat redha ini penting supaya sikap bongkak dan tinggi diri dilenyapkan sepenuhnya dalam diri.

Apabila sesorang usahawan itu redha, maka secara pandangan kasarnya , usahawan tersebut mempunyai sifat rendah diri, bersyukur dan sentiasa mengingati Allah dalam semua perkara.

Ramuan Qanaah #3:  Terima Segalanya!

Di dalam dunia kini, terlalu banyak perkara yang akan mempengaruhi sikap usahawan Islam.  Untuk itu, usahawan Islam harus mempunyai ‘perisai’ bagi melindungi anasir-anasir negatif.  Ia juga bertujuan untuk singkirkan cas-cas negatif di dalam diri.

Melalui ramuan Qanaah ini, usahawan Islam menerima segalanya ketentuan Illahi.  Jatuh bangun sesuatu perniagaan di terima dengan hati yang terbuka.  Dengan adanya pemikiran spiritual yang tinggi, usahawan Islam adalah seseorang pejuang dalam ‘medan peperangannya’.

Ramuan Qanaah #4:  Tawakal

Definisi Tawakal adalah satu ibadah yang berserah seratus peratus kepada Yang Maha Esa, Allah s.wt.  Tawakal kepada Allah akan menyerahkan bulat-bulat semua perkara kepada Allah.   Manusia hanya mampu merancang.  Namun yang menentukan adalah Allah s.w.t.

Tidak kira sehebat mana perancangan kita dalam perniagaan.  Apabila Allah s.w.t tidak mengizinkan perkara tersebut berlaku, maka tidak jadilah perancangan tersebut.  Oleh itu usahawan Islam perlu tawakal kepada Allah semata-mata.  Bukan kepada makhluk lain.

Ramuan Qanaah #5:  Tolak Tarikan Dunia!

Tidak terhintung dengan jari-jemari tarikan di dunia ini.  Sekiranya terlalu asyik ‘melayani’ hal di dunia, ‘karamlah’ kita dengan ‘lautan’ tersebut.  Apabila kita karam, maka kelemasan mula melanda.  Kelemasan ini sedikit demi sedikit akan meresapi tubuh kita.

Oleh itu, bagi mengelak ‘kelemasan tarikan dunia’, usahawan Islam perlu mempunyai sifat Qanaah.  Sifat qanaah yang menyingkir dan menolak tarikan dunia yang berlebih-lebihan. Pilihlah perkara-perkara yang mengikut landasan agama agar selamat di dunia dan di akhirat.

Akhir kata, dengan sifat Qanaah, usahawan Islam akan mempunyai pegangan yang sangat kuat.  Pegangan inilah yang akan membantu menerpa kejayaan.  Kejayaan yang diterpa bukan sahaja di dunia, malah akan sambung ke akhirat.  Insya-Allah.


Ikhlas,
Amir Azros

No comments:

Post a Comment